Sabtu, 19 Jun 2021

Hikmah Diturunkannya Isa a.s, Bukan Nabi Yang Lain & Dengan Apa Isa a.s Menetapkan Hukum


Kenapa nabi Isa a.s yang turun pada hari kiamat? Kenapa bukan Nabi yang lain?

Jadi, ada sebahagian ulama yang mencari hikmah diturunkannya nabi Isa a.s pada akhir zaman bukan nabi yang lain. Terdapat lima hikmah yang dinyatakan iaitu:

1) Untuk menolak anggapan orang-orang Yahudi bahawa mereka telah membunuh Isa a.s
Seperti yang kita tahu orang yahudi percaya bahawa nabi Isa a.s telah dibunuh mahupun disalib oleh orang-orang kafir sebaliknya nabi Isa a.s tidak dibunuh namun diangkat ke langit. jadi, hikmah penurunan nabi Isa a.s pada hari kiamat untuk membantah dakwaan orang Yahudi bahawa mereka membunuhnya dan sebaliknya Nabi Isa a.s  yang akan membunuh pimpinan mereka iaitu Dajjal.

2)  Isa a.s menjumpai keutamaan umat Muhammad SAW tercantum dalam Injil
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Fath ayat 29 :  

ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ

Maksudnya:“Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat, dan sifat-sifat mereka dalam Injil seperti tanaman yang mengeluarkan, lalu tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lantas menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya.” (Al-Fath: 29).
Maka Isa berdoa kepada Allah agar dimasukkan ke dalam golongan mereka. Lalu Allah mengabulkan doanya dan  mengekalkan kehidupannya hingga ia akan turun pada akhir zaman sebagai pembaharu terhadap urusan Islam.
Imam Malik Rahimahullah berkata, “Telah sampai berita kepadaku bahwa orang-orang Nasrani apabila melihat para sahabat menaklukkan Syam, mereka berkata, ‘Demi Allah, sesungguhnya mereka lebih baik daripada kaum Hawariyyun menurut berita yang sampai kepada kami.” (Tafsir Ibnu Katsir 1:343). Ibnu katsir berkata dalam hal ini memang benar kerana umat Islam ini sangat dihormati dalam kitab-kitab terdahulu dan berita yang disampaikan.

3) Turunnya Isa a.s kerana ajalnya sudah dekat agar beliau dimakamkan di bumi
Setiap makhluk dari tanah akan mati dan kembali ke tanah. Dan turunnya Isa a.s nanti bersesuaian dengan keluarnya Dajjal, lalu beliau membunuhnya.

4) Beliau turun untuk mendustakan kaum Nasara bagi menampakkan kepalsuan dan kebatilan mereka
Nabi Isa akan membongkar kebohongan Nasrani, menghancurkan salib, membunuh babi, dan membebaskan cukai.

5) Beliau memiliki keistimewaan kerana jarak antara beliau dengan Nabi Muhammad SAW sangat dekat dan tidak ada nabi lain yang memisahkan kedua utusan Allah ini.  
Didasarkan kepada sabda Nabi SAW:

أَنَا أًوْلَى النَّاسِ بِعِيْسَى بْنِ مَرْيَم لَيْسَ بَيْنِى وَبَيْنَهُ نَبِيٌّ  

Maksudnya: Aku adalah orang yang paling dekat dengan Isa Putera Maryam, tidak ada Nabi lagi antara dia dan aku. (Sahih Bukhari) Maka Rasulullah saw adalah orang yang mempunyai kekhususan dan paling dekat dengannya, karena Isa a.s membawa berita bahwa akan datang seorang utusan Allah setelah dia dan mengajak manusia untuk membenarkannnya dan mengikutinya.

Dengan apa Isa a.s Menetapkan Hukum? 

Pada hari kiamat kelak nabi Isa a.s akan menetapkan hukum dengan syariat Nabi Muhammad SAW dan beliau juga merupakan pengikut baginda SAW sebab Nabi Isa a.s turun kembali ke bumi dengan tidak membawa syariat yang baru kerana Islam merupakan agama penutup sehingga datangnya hari kiamat ia tidak dimansuhkan. Maka Nabi Isa a.s merupakan hakim atau ahli hukum di antara ahli-ahli umat Islam ini sebagai mujaddid terhadap Islam kerana tidak ada nabi lagi setelah nabi Muhammad SAW.

Hal ini berdasarkan sabda nabi yang diriwayatkan oleh imam muslim daripada abi Hurairah r.a iaitu nabi bersabda : 
كَيْفَ اَنْتُم اِذَاَ نَزَلَ فِيكُمُ ابْنُ مَرْيَم وَاِمَامُكُمْ مِنْكُم

Maksudnya: Bagaimanakah kamu jika Putera Maryam telah turun di tengah-tengah kamu sedang imammu dari kalanganmu sendiri?
Lalu sesungguhnya Al-Auza’i telah menceritakan kepada kami dari az-Zuhri, dari nafi dari abu Hurairah tentang lafaz “Wa imaamukum minkum”  yakni imammu dari kalanganmu sendiri. Ibnu Abi Dza bertanya “Tahukah engkau apa yang mengimami (memimpin) dari kalanganmu sendiri itu? Saya menjawab “Sebaiknya anda beritahu kepada saya” Ia menjawab “iaitu ia memimpin kamu dengan kitab tuhan kamu dan Sunnah nabi kamu” Yg bermaksud yang disyariatkan nnti berdasarkan al-quran dan as sunnah.

Al-Qurtubi juga berkata, suatu kaum berpendapat bahawa dengan turunnya Isa a.s  tiada taklif lagi supaya tidak menjadi rasul bagi manusia pada zaman itu dengan menyampaikan perintah dan larangan (wahyu) dari Allah. Jadi perkara ini menunjukkan bahawa adanya rasul setelah nabi Muhammad SAW merupakan perkara yang tidak dapat diterima.

Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:
 وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ
Maksudnya: Dan penutup para nabi.. (surah Al-Ahzab:48)

Dan Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada nabi sesudahku. (Sahih Muslim)

Maka, tidak boleh kita salah faham bahawa  nabi Isa nanti akan turun sebagai Nabi dengan membawa syariat yg baru selain syariat nabi Muhammad SAW. Sebaliknya beliau turun nanti akan menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW. Di samping itu, sebelum nabi Isa turun ke bumi, di langit lagi beliau sudah mengetahui syariat nabi Muhammad ini akan digunakan untuk menghukum manusia dan untuk diterapkan kepada dirinya sendiri. 

Yang menunjukkan masih adanya tugas syar’i sesudah nabi Isa a.s turun ke bumi iaitu beliau melaksanakan solat bersama kaum muslimin pada waktu itu, berhaji dan berjihad melawan orng-orang kafir. Membebaskan jizyah dari orang-orang kafir juga telah disyariatkan dalam Islam sebelum turunnya nabi Isa jadi bukanlah beliau membawa syariat yg baru .


Sumber: Buku Tanda-Tanda Kiamat oleh Yusuf bin Abdullah 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan