Selasa, 22 Jun 2021

Adab Bermedia Sosial



Adab merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam kerana seorang muslim akan menjadi manusia yang tinggi akhlak dan keperibadiannya apabila menjaga adab. Islam menetapkan adab dalam pelbagai perkara dan juga dalam kehidupan seharian termasuklah adab dalam bermedia sosial.

Ramai dalam kalangan kita menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan lain-lain lagi sebagai salah satu platfom untuk menyampaikan maklumat, berkongsi cerita dan sebagainya. Lebih-lebih lagi media sosial tersebut menjadi salah satu keperluan pada zaman kini. Namun, perlu diingatkan terutamanya kepada umat Islam untuk menjaga adab  ketika  bermedia sosial.

Maka, terdapat beberapa adab bermedia sosial supaya kita dapat amalkannya iaitu:

1)  Perlu menyampaikan perkara yang baik

Media sosial merupakan platfom yang boleh kita kongsikan sebarang maklumat. Jika kita berkongsi  maklumat atau perkara yang baik ia turut memberikan manfaat dan akan beroleh ganjaran pahala kepada kita, sebagaimana nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya: Barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Jadi janganlah kita menyebarkan perkara negatif yang membawa kepada fitnah, menjatuhkan maruah orang lain, mengadu domba dan lain-lain supaya kita tidak mahu menimbulkan sebarang persengketaan dan pergaduhan antara kita.

2)  Menjaga batas-batas pergaulan  di laman media  sosial.

Islam telah memberi panduan  kepada umatnya dalam menjaga batas pergaulan. Dalam keseronokan kita berkenalan dengan rakan yang baru, berkomunikasi dengan kawan-kawan lama wajarlah untuk kita beringat adanya batas yang perlu dijaga. Ikhtilat perlu dijaga dan diberi perhatian semasa berkomunikasi dengan yang bukan mahram secara melampau walaupun dalam media sosial supaya tidak timbul sebarang kemudaratan di kemudian hari. Semasa berkomunikasi di laman sosial dengan ajnabi gunalah bahasa yang sesuai, elakkan daripada berkomunikasi terlalu mesra dan manja sehingga menimbulkan fitnah dan boleh merosakkan hubungan dalam rumah tangga. Perkara ini perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana apabila batas pergaulan tidak dikawal dibimbangi akan membawa kepada permasalahan hati yang boleh menjerumus kepada keruntuhan akhlak. Maka waspadailah batas pergaulan di media sosial sebaik mungkin.

3)  Menjaga keaiban

Kita mestilah menjaga aib diri sendiri dan juga orang lain. Dalam keasyikan kita menggunakan teknologi dan juga media sosial, perlulah kita menjaga aib kita di media sosial. Kita terlalu mengikut trend barat sehingga kita lupa dengan apa yang diajarkan oleh islam. Seperti yg kita lihat sekarang terdapat segelintir umat Islam yang tidak malu membuka aib diri sendiri dengab perkara-perkara yang tidak patut untuk  dipertontonkan kepada orng ramai iaitu dengan tidak menutup aurat, menari-nari dan banyak lagi perkara yang tidak sepatutnya untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Selain itu, kita perlu  menjaga aib orang lain dengan tidak menulis artikel atau berkongsi perkara yang boleh membuka aib orang lain.  Namun pada zaman kini, kita dapat lihat ada dikalangan umat Islam yang membuka aib , menjaja cerita secara umum tentang aib keluarga dan pasangannya sendiri. Maka, marilah sama-sama kita beringat supaya menjaga aib diri sendiri dan orng lain di media sosial.

1)    4) Menyebarkan berita atau maklumat yang sahih dan benar di media sosial

Disarankan kepada kita semua untuk melakukan tiga perkara ini sebelum menyebarkan sesuatu maklumat atau berita di media sosial iaitu selektif, semak (check), dan semak semula (recheck). Pilih berita atau  maklumat yang hendak disebarkan di media sosial, semak daripada mana sumber  sesuatu berita yang hendak dikongsikan kemudian semak semula dengan teliti sebelum disebarkan di media sosial. Islam menuntut seseorang itu untuk semak dan teliti dalam menerima berita atau kabar dan tidak terlalu cepat dan mudah percaya sebelum siasat sesuatu maklumat dan sebelum mengetahui akan kebenaran berita tersebut. Berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita di media sosial kerana pada zaman teknologi yang  boleh kita dapatkan sesuatu maklumat dari "hujung jari" sahaja wujudnya banyak berita yang diviral yang belum tentu tahu berita tersebut sahih ataupun tidak. Jangan sampai kita terjerumus menyebarkan berita yang tidak sahih dan turut mendapat dosa dan hal ini merupakan tanggungjawab bagi kita untuk menyemak sesuatu berita sebelum disebarkan di media sosial.

Oleh itu, dingatkan kepada semua umat Islam untuk melaksanakan adab-adab ini di media sosial. Hiasalah keperibadian kita semua  dengan berakhlak mulia, menjaga adab dalam pelbagai perkara. Sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW

yang bermaksud:

 “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin kelak pada hari kiamat daripada akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah amatlah murka terhadap seseorang yang keji lagi jahat.” (HR. Tirmidzi)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan