Dalam perkembangan teknologi yang pesat dan banyak media baharu yang muncul pada zaman kini ia memberi peluang kepada masyarakat untuk menyuarakan pendapat, menzahirkan pandangan dan mengeluarkan kata-kata dalam media baharu ini. Tetapi yang menjadi kebimbangan bagi umat Islam, apabila menghadapi suasana sebegini ramai yang kurang dan tidak berminat untuk ditegur dan dinasihati di media baharu ini walaupun perkara yang dilalukannya sudah jelas bertentangan dengan
syariat agama Islam. “Biarlah aku tak pakai tudung asalkan hati aku baik”,“ Kau tegur orang ingat kau baik sangat ke?”,“Kau ni sibuk lah!kubur masing-masing”, ungkapan sebegini merupakan jawapan yang sering dilemparkan apabila seseorang itu apabila mendapat teguran. Situasi tersebut menunjukkan seseorang itu tidak mahu orang bercakap tentang kelemahan dirinya di hadapan umum walaupun mereka melakukan perkara buruk secara terang-terangan. Kenapa perkara ini berlaku? Ia disebabkan oleh keangkuhan diri dan merasakan diri sentiasa betul. Kerana tidak mahu mendengar nasihat atau pantang menerima teguran inilah yang mengakibat sifat takabbur mengusai diri.Takabbur dalam erti kata yang mudah iaitu merupakan perasaan yang sombong dan merasakan diri nya lebih baik daripada orang lain. Seseorang yang memiliki sifat takabbur selalu memandang rendah kepada orang lain namun kakikatnya semua umat manusia itu tidak sempurna kerana yang paling sempurna itu adalah Allah SWT. Hal demikian, jelas menunjukkan bahawa orang yang enggan menerima teguran kerana merasakan diri sempurna dan lebih baik daripada orang lain yang akan menimbulkan perasaan takabbur dalam dirinya. Sifat Takabbur ini mestilah dijauhi kerana ia merupakan sifat mazmumah dan sangat dibenci oleh Allah SWT malah ia juga merupakan sifat yang tidak disukai oleh sesama manusia dan mereka akan memilih untuk menjauhi sesiapa yang mempunyai sifat ini.
Ketahuilah bahawa sifat takabbur ini juga
merupakan sifat iblis apabila ia tidak mahu mengikut perintah daripada Allah SWT untuk bersujud
kepada nabi Adam a.s . Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah
ayat 34:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kalian kepada Adam,” maka bersujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan mereka yang kafir.”
Maka, adakah kita ingin menghiasi diri kita dengan tabiat seperti iblis dan syaitan ini?. Tiada kebaikanpun untuk kita menjadikan sifat ini menapak dalam diri kita malah ia memberi kemudaratan kepada kita. Sifat yang perlu dimiliki oleh setiap mukmin itu ialah sifat tawadhuk iaitu sifat merendah diri dan bertakwa kepada Allah. Kenikmatan dan ganjaran-ganjaran yang baik di dunia dan akhirat akan diberikan untuk orang-orang yang sentiasa tawadhuk (merendah diri) dan bertakwa kepada Allah.
Tiada guna untuk kita terus melakukan keburukan dengan tidak mahu mendengar nasihat. Kerana apabila diri kita terus melakukan keburukan, kita akan terus tenggelam dengan keburukan kita itu dan akan membinasakan diri kita sendiri. Kebanyakkan dari kita lebih suka memberi nasihat kepada orang lain namun susah untuk menerima atau mendengar nasihat daripada seseorang. Natijahnya, kita akan menjadi sombong, megah dan takabbur dan gagal untuk bermuhasabah diri kerana tidak mahu mendengar nasihat daripada orang lain.
Oleh itu, jangan biarkan sifat takabbur wujud dalam diri kita. Terimalah setiap teguran yang baik dengan hati yang terbuka tanpa melenting. Malah apabila kita terima teguran tersebut ia akan dapat memperbaiki diri kita ke arah yang lebih baik. Terimalah teguran dan nasihat yang baik itu supaya sifat takabbur tidak mengusai diri kita dan hiasilah diri kita dengan sifat tawadhuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan