Umum mengetahui bahawa, bermula pada awal tahun 2020 hingga kini rakyat Malaysia berdepan dengan pandemik COVID-19 malah wabak ini bukan sahaja melanda negara Malaysia sahaja namun wabak penyakit berjangkit ini melanda hampir ke seluruh dunia. Penularan wabak virus COVID-19 ini memberi impak yang sangat besar kepada negara ini sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun politik serta turut memberi kesan kepada masyarakat. Antara luahan yang sering diperkatakan oleh masyarakat pada ketika ini iaitu banyak dalam kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan dan sukar untuk menerima pendapatan yang stabil seperti tahun-tahun sebelum COVID-19 ini wujud.
Hal ini tercetus apabila kerajaan Malaysia mengambil tindakan dengan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 daripada terus tersebar secara berleluasa. Maka, perkara ini memberi kesan langsung kepada sektor yang melibatkan pekerjaan seperti industri pembinaan dan pembuatan, industri makanan dan minuman, industri pelancongan, industri pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Ekoran daripada penularan wabak ini juga ramai yang telah dijangkiti penyakit ini bahkan mengakibatkan bilangan kematian akibat COVID-19 semakin meningkat.
Hadapi ujian dengan sabar
Rentetan daripada perkara yang berlaku ini dapat kita lihat bahawa wabak pandemik COVID-19 merupakan satu ujian buat kita semua. Sebagai umat Islam, mestilah mempercayai bahawa setiap apa sahaja yang terjadi di atas muka bumi ini berlaku atas izin dan ketentuan daripada Allah SWT. Hal ini bersesuaian dengan rukun Iman yang ke enam yang wajib kita percaya iaitu beriman kepada qada dan qadar. Dalam pada itu perlu kita ketahui, sesungguhnya sifat sabar merupakan pegangan asas dalam isu ini serta mestilah ada pada diri setiap manusia khususnya kepada umat Islam.
Menerusi laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan sebagainya ramai masyarakat terutamanya yang beragama Islam saling menuding jari menyalahkan pihak lain kerana penularan wabak COVID-19 masih berterusan hingga kini. Tambahan pula, ada sesetengah masyarakat yang meluahkan perasaan kecewa dan mengeluh dengan apa yang dihadapinya di media sosial. Oleh yang demikian, kita mestilah memiliki sifat sabar, mengawal amarah dan emosi supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik pada saat ini. Bukan diri kita sahaja yang menghadapi situasi sebegini malah seluruh masyarakat menghadapi masalah dan cabaran hidup pada saat genting ini.
Tidak sewajarnya bagi umat Islam merungut dan membentak dengan mempertikaikan ujian yang dihadapinya pada saat ini. Sikap para nabi dan sahabat dalam menghadapi ujian perlu menjadi teladan bagi kita. Sebagaimana kisah Nabi Ayyub a.s disaat Allah SWT mengujinya dengan penyakit, Nabi Ayyub a.s tidak merungut dan tidak mempertikaikan apa yang berlaku terhadap dirinya. Bahkan, baginda terus bersabar dengan ujian yang dihadapinya.
Berusaha menangani penularan wabak
Oleh itu, lebih baik untuk kita semua berusaha menangani penularan wabak COVID-19 dengan mematuhi arahan pihak kerajaan. Seperti yang sedia maklumat kerajaan telah menetapkan arahan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu bagi membendung wabak penyakit ini. Jadi, kita mesti mematuhi perintah kerajaan supaya dapat menghindari diri daripada dijangkiti penyakit ini dan bagi mengelakkan kemudaratan yang akan berlaku pada diri kita dan juga orang lain.
Isu yang hangat diperkatakan pada saat ini iaitu pihak kerajaan menghadkan bilangan jemaah bagi melaksanakan solat di masjid dan mengamalkan penjarakan sosial demi keselamatan umat Islam dan perkara ini merupakan persetujuan dan perbincangan oleh mufti-mufti di negara ini. Namun, terdapat sesetengah masyarakat Islam yang memandang negatif dengan keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan bahkan ada yang menularkan perkara yang tidak benar berkaitan dengan perkara ini. Tidak sewajarnya bagi sesiapa yang kurang arif dalam ilmu yang berkaitan dengan perkara ini menularkan perkara yang tidak sahih. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 36:
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.
Di samping itu, bagi umat Islam di saat menghadapi ujian pada ketika ini sewajarnya memohon pertolongan, mengadu, merintih dan terus bergantung harap kepada Allah SWT agar wabak COVID-19 ini diangkat sepenuhnya daripada muka bumi ini. Mengamalkan solat hajat dan membaca doa agar dihindari wabak penyakit serta doa mengelakkan kemudaratan adalah sesuatu perkara yang dituntut kepada umat Islam untuk mengamalkannya kerana doa merupakan senjata bagi mukmin dan benteng pelindung buat diri dalam menghadapi setiap sesuatu perkara serta inilah yang membezakan nilai umat Islam dengan selainnya.
Bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT dan ambil hikmah daripada ujian.
Setiap sesuatu ujian yang telah ditentukan oleh Allah SWT pasti mempunyai hikmah disebaliknya dan ujian merupakan salah satu lumrah kehidupan. Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Insan ayat 2-3:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur, yang Kami menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur”.
Dalam keadaan ditimpa ujian seperti pandemik COVID-19 ini, umat Islam wajib bersangka baik dengan setiap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana Allah SWT Maha berkuasa dan Maha mengetahui atas setiap sesuatu perkara yang berlaku. Setiap ujian yang diberikan kepada kita jika kita menghadapinya dengan penuh kesabaran dengan izin Allah kita dapat mengatasinya dengan baik.
Antara hikmah yang dapat kita ambil daripada ujian yang diberikan oleh Allah SWT ini iaitu pada saat kita diuji dengan wabak yang melanda dunia membuatkan umat Islam lebih dekat dengan Allah SWT. Mungkin ramai dalam kalangan umat manusia yang lalai dengan nikmat kehidupan dunia dengan musibah yang kita alami sekarang ini membuatkan diri kita sedar dan mengingati akan setiap dosa dan kesalahan yang dilakukan sebelum ini. Sekaligus dapat kita bermuhasabah diri dan memperbetulkan diri ke arah lebih baik serta bertaubat kepada Allah SWT.
Selain itu, hikmah yang dapat kita peroleh daripada sesuatu ujian iaitu ujian ini dapat menambahkan pahala dan juga menilai sejauh mana kesabaran kita dalam menghadapi sesuatu perkara. Ingatlah bahawa orang yang beriman akan mencari hikmah disebalik dugaan yang dihadapinya dan mereka akan kembali kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 31:
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami mengenai adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita mengenai keadaan kamu.”
Oleh itu, hadapilah ujian ini dengan penuh kesabaran dan marilah kita bersama-sama berganding bahu berusaha dalam menangani wabak pandemik COVID-19 dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan serta ambillah hikmah dan pengajaran daripada ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan