Saya amat tertarik dengan kisah perjalanan Bro Lim Jooi Soon Memeluk Islam. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang mengamalkan agama BTC iaitu Buddhisme, Taoisme, dan Confucianisme. Pada usia 14 tahun beliau telah memeluk agama Kristian. Pada usia 20 tahun selepas membuat kajian perbandingan agama beliau menjumpai kebenaran dalam agama Islam. Kini, beliau merupakan pengurus Asosiasi Muslim Cina Malaysia, MACMA.
Bro Lim Jooi Soon meceritakan sebab beliau menolak untuk menyembah patung yang turut disembah oleh ibubapanya. Hal ini kerana, peristiwa semasa menyaksikan berlakunya perlawanan bola sepak beliau tertarik dengan hujah yang diberikan oleh seorang permain bola sepak yang beragama Islam. Hujahnya mengenai patung berhala yang disembah oleh agama mereka diciptakan dengan tangan manusia. Beliau juga terpegun apabila lelaki tersebut menyoal tentang kewujudan udara dan matahari yang kita tidak boleh lihat namun dapat dirasai dan tidak boleh hidup tanpa udara dan matahari. Maka, menyedari perkara ini beliau menolak untuk menyembah semua patung berhala yang tidak sehebat udara dan matahari dan juga peristiwa kebakaran yang membuatkan beliau terfikir patung yang mereka sembah adakah boleh untuk lari atau tetap di tempat asal. Perkara ini yang mengukuhkan lagi fikiran beliau tentang penolakan terhadap penyembahan patung berhala. Tetapi pada ketika itu beliau tidak mengenali apa itu Islam dan Allah SWT.
Seterusnya, bagaimana beliau tertarik untuk masuk agama Kristian. Perkara ini
disebabkan layanan baik oleh paderi gereja ketika beliau dan rakannya bermain
bola sepak di padang berhampiran dengan gereja. Paderi tersebut juga mengajak
beliau memasuki gareja dan beliau berasa
seronok lalu memeluk agama Kristian. Titik perubahan beliau apabila melihat video perdebatan antara Sheikh Ahmad Deedat dengan Jimmy Swaggart yang bertajuk “Adakah bible itu kalam Allah?”. Menerusi pendebatan ini tiada bukti yang diberikan oleh paderi itu yang menunjukkan bible itu kalam Allah. Maka membuatkan beliau ingin membeli semua video tape (VSH) Sheikh Ahmad Deedat kerana ingin mengkaji. Berdasarkan debat-debat antara Sheikh Ahmad Deedat dengan orang Kristian yang terkenal membuatkan dia tahu bahawa bible itu bukan kalam Allah dan ia direka oleh manusia serta selepas beliau mengkaji, terlalu banyak kelemahan dan kecacatan bible. Dan beliau menjelaskan bahawa terdapat empat peringkat untuk mengkaji agama Islam.
Peringkat pertama: Beliau membeli kitab-kitab Islam, iaitu Al-quran dan tafsir Al-Quran, beli kitab-kitab hadis Muslim, Bukhari , Ibn Majah, Ibn Mas’ud dan kitab hadis yang lain, beli buku-buku sirah nabi, buku Fiqah, buku maqasid syariat dan sebagainya kerana mahu mengkaji Islam
Peringkat kedua: Membaca dan mengkaji serta beliau mencari pakar-pakar Islam untuk mendapatkan hujah tentang Islam dan belajar tentang Islam.
Peringkat ketiga: Selepas mengkaji ,beliau sentiasa terbuka untuk diperbetulkan, kritikan, pandangan orang lain dan sebagainya.
Peringkat keempat: Sebelum mendaftar masuk Islam beliau memesan kepada dirinya bahawa beliau hanya akan masuk Islam dan amalkan ajaran Islam berdasarkan kajian dan ilmu, bukan berdasarkan amalan orang lain atau secara ikut-ikutan orang lain serta mengamalkan Islam secara bersungguh-sungguh. Dengan cara 4 peringkat ini beliau telah memeluk agama Islam.
Perceritaan beliau mengenai kajian beliau terhadap Islam iaitu dengan mengkaji kitab-kitab agama seperti mengkaji al-Quran, kitab-kitab hadis, kitab berkaitan dengan sirah, fiqah, Syariah dan sebagainya dan mempelajari agama Islam dengan alim ulama’ dan lain-lain lagi membuatkan saya terpegun dengan kesungguhan beliau untuk mengetahui agama Islam malah umat Islam yang sememangnya lahir daripada keluarga Islam tidak mengkaji dan mempelajari agama Islam secara mendalam seperti yang dilakukan oleh Bro Lim Jooi Soon ini.
Di samping itu, dalam penceritaan beliau terdapat beberapa halangan untuk beliau memeluk Islam iaitu tidak ramai orang Islam yang memberitahu tentang keindahan agama Islam dan menyampaikan ajaran Islam kepada orang Non Muslim. Sebagaimana yang diceritakan Bro Lim ini, beliau berasa sedih kerana selama beliau tinggal berjiran dengan orang Melayu yang beragama Islam tiada seorangpun yang bercerita tentang Islam kepadanya. Halangan yang kedua sikap yang ditunjukkan oleh segelintir orang Islam menyebabkan orang Non Muslim berjauhan dengan orang Islam dan untuk mengetahui agama Islam. Contohnya, ketika beliau bermain bola sepak yang berhampiran dengan masjid ketika belum memeluk agama Islam, terdapat jemaah masjid yang melarang beliau dan rakannya untuk bermain di kawasan itu. Perkara ini menyebabkan orang Non Muslim tidak suka dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir orang Islam serta soalan yang ditanya oleh orang non muslim berkaitan dengan Islam tidak dijawab dengan baik oleh orang Islam.
Saya mengkagumi akan usaha beliau dalam mendalami ilmu agama Islam. Saya juga berharap agar ramai dalam kalangan umat Islam yang menyampaikan ajaran Islam atau dalam erti kata yang mudah berdakwah kepada mereka yang non muslim walaupun dengan melakukan dengan sekecil perkara iaitu menceritakan akan keindahan agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan