Sifat sombong ialah sifat mazmumah yang bercanggah dengan ahlak Islam dan sifat ini dianggap juga sebagai penyakit hati. Sebagaimana Allah SWT berfirman :
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى الْاَرْضِ مَرَحًاۗ اِنَّ اللّٰهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍۚ
Maksudnya: Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
(Surah Luqman 31:18)
Kebanyakan manusia termasuk diri kita sendiri tidak terlepas daripada perasaan bahawa diri kita adalah lebih hebat daripada orang lain yang akan menimbulkan sifat sombong ini. Lebih-lebih lagi, ia berlaku kepada seseorang yang mempunyai kemasyhuran, orang yang berilmu tinggi, orang yang memiliki wajah yang cantik dan sebagainya. Maka perkara sebegini perlu diberi perhatian supaya sifat sombong ini tidak terus kekal di dalam diri setiap umat Islam. Maka, terdapat enam cara yang boleh mengelakkan diri kita daripada sifat sombong iaitu:
1. Sentiasa mengingatkan diri bahawa setiap apa yang berlaku atas kehendak Allah
kerana setiap kesenangan dan kenikmatan yang kita dapat tidak akan terjadi tanpa izin Allah.
2. Sentiasa mengingatkan diri, setiap apa yang kita ada adalah pinjaman sementara. Kemasyuran, kekayaan, kesenangan, kecantikan dan segala nikmat yang kita ada adalah pinjaman sementara sahaja dan tidak akan kekal selamanya.
3. Sentiasa mengingatkan diri bahawa kita ini banyak melakukan dosa. Apabila kita mengingati diri kita ini banyak dosa, kita akan rasa rendah diri serta bermuhasabah akan dosa yang dilakukan.
4. Selalu bersyukur dengan nikmat Allah kerana setiap apa yang kita dapat adalah pemberian daripada Allah SWT.
5. Risau akan amalan kita tidak diterima.
6. Sentiasa ingat dunia ini adalah sementara
Oleh itu, semoga kita dapat mengamalkan enam cara ini supaya dapat menghindarkan diri daripada sifat sombong sekaligus dapat menghiasi diri dengan akhlak yang mulia yang melambangkan akhlak seorang muslim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan