Jumaat, 30 Julai 2021

Latihan Amali Dakwah Muslim di Kampung Manok, Kelantan

 


Sebagai pelajar Program Pengajian Dakwah dan Kempimpinan, kami perlu melaksanakan Latihan Amali Dakwah Muslim semasa berada di tahun yang ketiga. Disebabkan wabak COVID-19 telah melanda Malaysia, kami tidak dapat melaksanakan latihan amali dakwah ini seperti tahun-tahun sebelum ini kerana kami perlu mematuhi saranan kerajaan Malaysia bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Maka, pensyarah kami memberi pilihan kepada pelajar Dakwah untuk melaksanakan program ini sama ada secara bersemuka dengan mematuhi SOP yang ketat dan secara dalam talian serta kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut negeri tempat tinggal masing-masing untuk

melaksanakan program ini. Jadi, pada tarikh 23. Disember. 2020 kami telah melaksanakan Latihan Amali Dakwah Muslim bagi kumpulan Pantai Timur di Kampung Manok, Sungai Rual, Jeli, Kelantan. Progam yang kami lakukan ini diberi nama "Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah 2020".

Banyak cabaran dan halangan yang ditempuhi sebelum program ini dijalankan atas beberapa faktor tertentu. Namun, akhirnya kami dapat lakukan dengan sebaik mungkin sehingga penghujung program, Alhamdulillah. Sebelum program ini dijalankan kami perlu menghadiri beberapa mesyuarat bagi membahagikan jawatan kuasa, berkongsi pandangan berkaitan agenda dan aktiviti program, penginapan dan pengangkutan ke tempat program melalui aplikasi google meet supaya program yang dijalankan ini berjalan dengan sistematik dan lancar.

Saya bersyukur kerana mempunyai pengarah dan timbalan pengarah program yang memainkan peranan mereka dengan jayanya. Arahan yang diberikan sangat jelas kepada exco dan ahli jawatan kuasa yang lain serta memberi peluang kepada para ahli jawatan kuasa menyuarakan pendapat dalam melaksanakan program ini. Selain itu, perjalanan program tidak mungkin berjalan dengan lancar tanpa bantuan dan sumbang bakti daripada urusetia yang proaktif dan kreatif. Penduduk orang asli Kampung Manok turut menjayakan program ini kerena mereka memberikan kerjasama dengan menyertai slot-slot yang diadakan sepanjang program ini berlangsung.

Antara peluang dan manfaat yang diperolehi sepanjang menyertai program ini iaitu kami dapat membantu orang asli dengan memberikan sumbangan dari segi makanan dan dapat melihat kegembiraan mereka apabila mereka menerima bantuan tersebut. Kami juga dapat melihat dan merasai suasana, pesekitaran, bahasa adat, dan budaya secara langsung tentang kehidupan orang asli. Selain itu, kami dapat berkongsi ilmu serba sedikit berkaitan dengan Islam kepada penduduk di sana sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan mereka dengan mereka.

Cabaran yang kami hadapi semasa mengadakan program ini ialah kami berasa sedikit sukar untuk berkomunikasi dengan penduduk di sana kerana perbezaan bahasa. Walaubagaimanapun, kami dapat belajar dengan rakan-rakan yang mengetahui serba sedikit bahasa mereka. Selain itu, pada mulanya berasa sedikit sukar untuk menarik minat dan perhatian mereka apabila menerangkan tentang wudhuk, solat, asas bab akidah dan sebagainya kepada penduduk orang asli di sana namun dapat diatasi dengan baik. Terdapat beberapa penduduk di sana yang berkemungkinan mempunyai sifat malu atau takut bertemu dengan kami namun kami mencuba untuk beromunikasi dengan mereka.

Akhir kata, program ini dapat diselesaikan dengan jayanya walaupun mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Program ini merupakan satu pengalaman yang berharga bagi saya. Selain itu, program ini tidak dapat berjalan dengan lancar tanpa bantuan daripada pensyarah dan juga rakan organisasi program. Oleh itu, setiap program yang dilaksanakan memerlukan nilai kerjasama, bertanggungjawab, saling bantu-membantu dan nilai murni yang lain lagi bagi mencapai objektif dan matlamat sesuatu program yang hendak dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan